REFLEKSI (1) Makro Pengajaran









REFLEKSI MAKRO PENGAJARAN
(2.1)    Kekuatan
Penggunaan langkah 1 (Penstrukturan Idea semula) sebagai pilihan Makro Pengajaran. Ketegasan dan kelantangan suara masih ditekankan. Penekanan tentang mata pelajaran yang lalu diterapkan.(Penggunaan suku kata terbuka dan tertutup) yang berkaitan dengan tajuk. Penggunaan Slaid Mspowerpoint bagi menambahkan pengukuhan pemahaman murid. Saya memberi maklum balas pada jawapan yang murid berikan. Bagi mewujudkan keseronokan belajar, keaktifan murid bertambah ketara. Keadaan sebenar pengajaran & pembelajaran dapat dirasai dan murid kelihatan tidak kekok langsung. BBM seperti gambar keluarga yang diperolehi daripada internet, menambahkan tarikan minat murid-murid.

Saya telah bersikap inisiatif mengubah perancangan dengan mengatasi masalah masa yang tinggal dengan mengambil aktiviti tambahan dari langkah 2 (Aplikasi Idea) – Membina ayat dan mengadakan aktiviti tambahan – mendemonstrasikan perkataan secara simulasi oleh murid. Walaubagaimanapun perjalanan isi pelajaran tidak terjejas dengan kesilapan teknikal ini dan ia berjaya disampaikan dengan baik.

Saya menggunakan daya usaha dengan bertoleransi untuk mengawal keadaan disiplin murid; tidak membiarkan murid membuat aktiviti bermain dengan rakan yang mungkin mengganggu pemahaman dan kelancaran isi pelajaran yang ingin disampaikan (Saya bergerak ke semua tempat duduk murid). Saya berjaya menarik semula minat belajar murid dengan memanggil murid yang tidak mahu mencuba. Saya turut memberi peluang semua murid untuk mencuba menyatakan ayat masing-masing.Tidak lupa juga, saya membuat penegasan – mengulang semula ayat yang dibuat oleh murid supaya lebih jelas didengar dan difahami oleh seluruh kelas.
Kesabaran saya memainkan peranan dalam menangani kerenah permintaan murid yang pelbagai.Secara keseluruhannya suasana isi pelajaran yang aktif dapat diwujudkan. Guru berasa terhibur dengan keletah murid yang bekerjasama dalam aktiviti pengajaran  & pembelajaran. Pada akhir langkah ini, saya memberi ganjaran atau motivasi – bertepuk tangan oleh guru,murid di atas usaha yang ditunjukkan oleh murid semasa sesi demonstrasi – simulasi. Penekanan latih tubi perkataan menambah pemahaman murid.
(2.2)    Kelemahan
Pengaturan masa menjadi tidak seperti yang dirancangkan.Masa yang ditetapkan ialah 20 minit,tetapi saya hanya menggunakan  sebanyak 18 minit 27 saat sahaja daripada masa yang diperuntukkan. Saya seharusnya menggunakan gabungan aplikasi penggunaan kad perkataan di layar Slaid Mspowerpoint. Saya terlupa menekankan kepentingan hubungan kekeluargaan dia antara keluarga dan saudara mara kepada murid seperti yang dirancang.
Dalam langkah ini saya sepatutnya dapat menggunakan banyak perkataan lain yang murid tahu berkenaan dengan suku kata terbuka dan tertutup atau memberi contoh kepada murid lalu menulis di papan kenyataan atau menyuruh murid menulisnya sendiri.
Saya terpaksa menambah idea dengan membuat aktiviti demonstrasi – simulasi murid bagi konsep perkataan saudara mara bagi mencukupkan masa. Perbezaan masa perancangan dan pelaksanaannya tidaklah begitu ketara hanya didapati selisih 1 minit 33 saat sahaja.
(2.3)  Langkah Mengatasi
Pengelakkan ketidak tepatan masa dan aktiviti,seharusnya saya membuat ujikaji pra-pengajaran dan mendapat khidmat pandangan komentar daripada rakan sebelum menjayakan aktiviti Makro pengajaran ini.Penggunaan Slaid Mspowerpoint boleh dipelbagaikan aplikasinya bagi menambahkan minat murid. Penambahan penggunaan kad perkataan pada Langkah 1 tidaklah berkesalahan tetapi hendaklah dinyatakan di dalam RPH.

Guru juga seharusnya menyediakan kad perkataan atau contoh lain bagi menambahkan pemahaman murid tentang suku kata terbuka dan tertutup. Murid juga boleh diberi peluang menulis ayat mudah di papan tulis.
Secara keseluruhannya, tiada kelemahan begitu ketara yang timbul pada pendapat saya sendiri. Walaupun terdapat kesilapan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, namun murid ternyata dapat mengikuti pembelajaran dengan jayanya. Paling penting ialah objektif tercapai dan murid berjaya melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan.
REFLEKSI RAKAN
Saya telah sempat meminta maklum balas serta pandangan daripada rakan saya berkenaan pengajaran yang telah dilaksanakan. Beliau berpendapat; saya harus menyediakan Bahan bantu mengajar yang lebih menarik. Secara peribadi beliau menambah lagi,menurutnya bahan yang saya sediakan sedikit sebanyak mampu mencungkil idea awal pelajar serta meransang daya inkuiri pelajar.Beliau turut menyentuh tentang penggunaan aplikasi Slaid Mspowerpoint, pelbagai teknik aplikasi boleh diketengahkan bagi menambah aktiviti serta minat murid. Sememangnya; dia turut memberi idea supaya contoh-contoh perkataan suku kata terbuka dan tertutup diperbanyakkan lagi bagi menambah pemahaman murid tentang konsepnya serta memperlengkapkan masa pada aktiviti yang dirancang.
Saya menerima komen beliau dengan hati yang terbuka dan positif . Kesyukuran timbul apabila beliau turut berasa gembira melihat penglibatan murid serta guru yang aktif sepanjang mikro serta makro pengajaran dijalankan.

Saya akan berusaha sebaik mungkin melakukan tindakan wajar yang seterusnya bagi menambahbaik kesilapan dan kekurangan yang telah saya lakukan pada sesi mikro dan makro pengajaran serta Rancangan Pengajaran Harian. Sesi rakaman ini sekali gus menyedarkan saya; untuk menjayakan sesuatu perlukan pengetahuan,pemahaman,kemahiran, kesabaran dan daya usaha yang gigih. Kepuasan hanya dapat dicapai sekiranya sesuatu objektif pelajaran tercapai dan murid dapat menghayati pembelajaran mereka.Bagi guru pula, memberi kesedaran bahawa pentingnya menguji daya pendidik yang sewajarnya dan sentiasa berusaha bagi meningkatkan profesionalisme perguruan.



Adakah saya seorang guru yang baik? 'Tepuk dada tanya selera'